create your own banner at mybannermaker.com!

March 29, 2010

BADAR YANG AGUNG: TITIK TRANSFORMASI: PERANAN REMAJA DAN PEMUDA


Rasulullah s.a.w. berdoa memohon restu daripada Allah s.w.t. pada sebelah petang malam Jumaat 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah (bermaksud), "Wahai Tuhanku, ini dia Quraisy meluru dengan segala keangkuhan dan kesombongannya mencabar Dikau dan mendustai Rasul-Nya. Wahai Tuhanku berilah pertolongan yang telah Engkau janjikan itu. Wahai Tuhanku, kalahkanlah mereka...di petang hari.

Badar al-Kubra merupakan satu transformasi, perubahan dan pembezaan dalam sejarah kemanusiaan kerana mengandungi pengajaran dan teladan serta natijah yang tidak dapat dinafikan kepentingannya. Sesiapa sahaja yang mempelajari sejarah Badar ini, pasti melihat kesannya terhadap kemanusiaan sesudah itu hingga ke hari ini. Setelah Badr al-Kubra, dengan izin allah s.w.t. Islam telah berkuasa.

Rasulullah s.a.w. telah mendapat berita bahawa Abu Sufyan b. Harb kembali dari Syria bersama kafilah Quraisy yang besar yang membawa bersama mereka wang dan barang dagangan, disertai oleh 30-40 orang lelaki termasuklah Makhramah b. Naufal b. Uhayb b. Abdul Manaf b. Zuhrah dan 'Amr b. Al-'As b. Wa'il b. Hisham. Baginda s.a.w. memanggil kaum Muslimin dan berkata dengan maksud, "Terdapat kafilah Quraisy bersama harta mereka. Keluar dan serangnya...." Kaum muslim menyahut seruan Rasulullah s.a.w., ada yang bersungguh-sungguh dan ada sebahagian yang merasa berat kerana mereka tidak menyangka Nabi s.a.w. akan berperang. Ketika Abu Sufyan sampai ke Hijaz, beliau merisik berita dengan menanyakan para pengembara yang melalui kawasan itu dan mendapat tahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah mengajak sahabat-sahabat baginda r.a. untuk menyerang kafilahnya. Belau menyuruh Dhamdham b. 'Amr al-Ghifari ke Makkah untuk mengarahkan orang-orang Quraisy keluar mempertahankan harta mereka.

Ketika sampai ke wadi yang bernama Dzafiran baginda s.a.w. berhenti. Baginda s.a.w. menerima berita tentang kedatangan orang-orang Quraisy Makkah untuk mempertahankan harta mereka. Baginda s.a.w. lalu mendapatkan pendapat sahabat-sahabat baginda r.a. Selepas Abu Bakr dan 'Umar r.a. memberikan pendapat, al-Miqdad bangun lalu berkata dengan maksud, " Wahai nabi Allah, pergilah ke mana sahaja yang di arahkan Allah, kami pasti akan bersamamu. Kami tidak akan mengatakan seperti yang dikatakan oleh Bani Israil kepada Musa, 'Kamu pergilah berperang bersama Tuhanmu, kami akan tinggal di rumah-rumah kami', tetapi kamu pergilah bersama Tuhanmu berperang dan kami akan berjuang bersamamu. Demi Allah, sekiranya kamu membawa kami ke Bark al-Ghimad (di Yaman) kami pasti akan berjuang bersamamu menentang musuhmu sehingga engkau berjaya." Baginda mengucapkan terima kasih kepada al-Miqdad dan memuji beliau dan meminta nasihat daripada kaum Ansar yang merupakan majoriti daripada sahabat-sahabat ketika itu.

Sa'ad b. Mu'az selaku wakil kaum Ansar bangun lalu berkata dengan maksud." Wahai Rasulullah sungguh kami ini telah beriman kepadamu, telah sepenuhnya meyakini agamamu dan telah mengakui kebenaran agama yang engkau bawa kepada kami. Kami telah bersumpah setia untuk melaksanakan semua yang telah kami janjikan kepadamu. Oleh sebab itu, segeralah laksanakan apa yang telah menjadi keputusanmu, ya Rasulullah dan kami setia padamu. Demi Allah yang telah membangkitkanmu dengan membawa kebenaran, kalau engkau perintahkan kami untuk mengharungi lautan, niscayalah kami harungi bersamamu. Tak seorangpun antara kami ini yang akan menolak perintahmu dan tak seorangpun yang akan undur dari medan juang, hari ini atau esok. Kami tabah mengharungi peperangan ini dan telah siap sedia untuk syahid dalamnya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. merestui apa yang engkau percayakan kepada kami dan marilah berangkat bersama kami, dalam barakah Ilahi. Banyak lagi dalam kalangan Ansar yang memberikan pernyataan yang serupa sehingga legalah hati Nabi s.a.w. Selesai perbicaraan di situ berkatalah Nabi s.a.w. dengan maksud, " Berangkatlah kalian atas barakah Allah dan bergembiralah bahawa seseungguhnya Allah telah menggariskan dua pilihan, menang atau kalah."

Dari situ Nabi s.a.w. berangkat dan berhenti berhampiran tempat yang bernama Badr. Baginda menanyakan maklumat tentang Abu Sufyan kepada seorang tua. Apabila orang tua tu menanyakan baginda daripada kumpulan mana (kumpulan Muhammad s.a.w atau Abu Sufyan), baginda s.a.w. menjawab dengan maksud, "Kami daripada Ma' (air)"

Peperangan Badr yang agung berlaku pada pagi hari Jumaat 17 Ramadhan. Nabi s.a.w. membetulkan barisan sahabat-sahabat r.a. menggunakan anak panah. Ketika sampai kepada Sawad b. Ghaziyyah yang berdiri di luar barisan, baginda s.a.w. mencucuk perutnya dengan menggunakan anak panah tersebut sambil berkata dengan maksud, "Berdirilah dalam barisan wahai Sawad!" Sawad membalas dengan maksud, " Engkau telah menyakitkan saya wahai Nabi Allah. Allah telah mengutus engkau dengan kebenaran dan keadilan, jadi benarkan saya membalasnya." Nabi s.a.w. mengangkat baju baginda dan berkata,"Balaslah." Sawad memeluk baginda s.a.w. dan mencium perut baginda s.a.w. Nabi s.a.w. nenanyakan Sawad kenapakah beliau berbuat begitu. Sawad mengatakan dengan maksud, " Wahai Nabi Allah, engkau melihat apa yang ada di depan kami dan aku mungkin akan terkorban dalam peperangan ini dan mungkin ini kali terakhir aku berjumpa denganmu, aku mahu kulit aku menyentuh kulitmu. Nabi s.a.w. memuji beliau.

Kemudian Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam khemah lalu berdoa, yang antara lain bermaksud " Ya Allah, sekiranya kumpulan ini tewas hari ini, Engkau tidak lagi akan disembah." Setelah itu Rasulullah s.a.w. tertidur sebentar. Setelah terjaga baginda s.a.w. berkata dengan maksud, " Wahai Abu Bakr, pertolongan Allah akan datang kepada kamu. Di sana Jibril memegang pemacu kuda dan mengetuainya..."

Sahabat pertama mendapat syahid dalam Badr al-Kubra ialah Mihja' hamba yang dibebaskan oleh Sayyidina 'Umar r.a. setelah terkena panah kemudian diikuti oleh Harithah b. Suraqah yang juga terkena panah.

Seramai 83 orang Muhajirin berjihad di Badr dan 231 orang Ansar (61 Aus, 170 Khazraj), jumlah 314 orang.
Jumlah yang syahid, 6 orang Muhajirin, 8 orang Ansar, jumlah 14 orang.

Seramai 50 orang Quraisy terbunuh dalam Badr al-Kubra. 43 orang Quraisy menjadi tawanan.

Nama-nama yang lengkap boleh dilihat dalam Sirah An-Nabawiyah Ibn Hisyam (ada terjemahan dalam bahasa Inggeris) dan The Life of Muhammad (s.a.w.) translation of Ibn Ishaq's Sirat Rasulullah (s.a.w.) oleh A. Guillaume.

Semasa peperangan Badar al-Kubra terdapat 2 orang remaja yang masih muda di sekitar 15 tahun umur mereka iaitu Mu'az b. 'Amr b. al-Jamu' al-Ansari al-Khazraji as-salami dan Mu'az b. Afra' yang telah berjaya membunuh Abu jahal. Jika Sayyidina Ali memeluk Islam ketika berumur 10 tahun, maka semasa Badr al-Kubra beliau berumur sekitar 25 tahun. Ketika Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah bersama sahabat-sahabat baginda tidak ada dalam kalangan mereka yang beruban kecuali Sayyidina Abu Bakr r.a.yang menginaikan janggutnya dengan "henna dan saffron". Ketika itu Sayyidina Abu Bakr r.a. berumur 51 tahun dan Sayyidina 'Umar r.a. berumur 41 tahun. Jadi semasa Badr yang Agung Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina 'Umar r.a. berumur 53 dan 43 tahun. Sahabat-sahabat yang menyahut seruan Nabi Muhammad s.a.w. semasa zaman Makkah berumur antara 15 hingga 25 tahun dan terdapat juga kanak-kanak. Jadi semasa Badr yang Agung ramai antara sahabata-sahabat yang menyertainya berumur antara 25-40 tahun.

Wallahu a'lam. Mohon pembetulan daripada yang lebih arif jika kedapatan kesilapan.

Rujukan:
Fiqh al-Sirah, Sa'id Ramadan al-Buti
Sari Sejarah dan Perjuangan Rasul s.a.w., Dr. Mustafa Al-Assiba'i (terjemahan Sirah al-Nabawiyah)
The Life of Muhammad (s.a.w.) translation of Ibn Ishaq's Sirat Rasulullah (s.a.w.),A. Guillaume
A Message to Every Youth, Asy-Syahid Dr. Abdullah Azam

*aku telah melihat satu transformasi yang telah berlaku di bumi UiTM sempena detik dunia...inilah BADAR KUBR yang dinantikan...

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More